Perutusan Ketua Perangkawan Malaysia

Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin

Ketua Perangkawan Malaysia

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.
 
Selamat datang ke Portal Banci Ekonomi 2023 (BE 2023).

Banci Ekonomi merupakan salah satu aktiviti statistik yang sangat penting yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Banci Ekonomi yang dilaksanakan setiap lima tahun sekali adalah penghitungan menyeluruh “pertubuhan-pertubuhan perniagaan” dan “pertubuhan bukan berasaskan keuntungan” yang ada di Malaysia. Di Malaysia terdapat 1,133 kod industri yang diliputi terdiri daripada Perkhidmatan (604 industri), Pembuatan (259 industri), Pertanian (142 industri), Pembinaan (72 industri) dan Perlombongan & Pengkuarian  (56 industri).


Banci Ekonomi menyediakan maklumat untuk menilai dan memantau dasar-dasar kerajaan di samping memenuhi keperluan permintan data oleh pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan dan swasta. Antaranya ialah pendapatan, output, perbelanjaan, bilangan pekerja dan gaji & upah. Selain itu, maklumat lain yang dikutip ialah pemilikan, perbelanjaan modal, kemudahan pembiayaan, inovasi dan penyelidikan, import dan eksport, perbelanjaan perlindungan alam sekitar serta teknologi, industri kenderaan elektrik, industri dron dan e-sports.


Banci Ekonomi 2023 merupakan banci kelima yang dilaksanakan semenjak tahun 2001. Ianya bermula dari April 2023 sehingga 30 September 2023. Banci Ekonomi pada kali ini memperkenalkan pengisian soal selidik secara dalam talian (e-BE). Ini sudah tentu akan memudahkan semua pertubuhan untuk memberi maklumat yang diperlukan dalam Banci Ekonomi ini. Selain itu, kaedah pengumpulan data lain juga digunakan iaitu mel dan temuduga (bersemuka atau melalui telefon). Maklumat-maklumat daripada Banci Ekonomi ini akan dimasukkan dalam OpenDOSM NextGen agar mudah diakses dan digunakan secara meluas.

Terima kasih kerana terlibat dalam Banci Ekonomi 2023. Segala maklumat pertubuhan anda adalah SULIT.

                                                   "Data Pemangkin Ekonomi Negara"

Salam hormat,



Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin

Ketua Perangkawan Malaysia

Hubun​gi Kami

pejabat utama

Jabatan Perangkaan, Malaysia
Blok C6, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62514, Putrajaya

laman web

https://www.dosm.gov.my/

email

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta © 2020 Jabatan Perangkaan Malaysia. Hakcipta Terpelihara. | Paparan terbaik menggunakan Google Chrome, Mozilla Firefox dan Internet Explorer 9.0+ dengan resolusi ​1920 x 1080 atau yang lebih tinggi, | Peranti 1200px dan ke atas Kawasan Kandungan 1140px