Siti Asiah Ahmad
Ketua Perangkawan Malaysia
Perutusan Ketua Perangkawan Malaysia
“Data Nadi Ekonomi Rakyat”
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.
Selamat datang ke Portal Rasmi Banci Ekonomi 2026 (BE2026).
Banci Ekonomi 2026 merupakan satu agenda nasional yang amat penting dalam memperkukuh ekosistem statistik negara. Banci ini menyediakan asas data yang komprehensif, berkualiti dan berwibawa bagi menyokong perancangan pembangunan ekonomi Malaysia. BE2026 merupakan banci ekonomi ke-6 yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menghasilkan statistik rasmi yang lebih tepat, granular, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.
Dalam landskap ekonomi yang semakin kompleks, dinamik dan dipacu teknologi, keperluan terhadap data yang pantas dan granular menjadi semakin kritikal. Statistik rasmi bukan sahaja menjadi rujukan utama kerajaan dalam merangka dasar dan intervensi bersasar, malah turut menyokong komuniti perniagaan, pelabur, penyelidik dan rakyat dalam membuat keputusan berasaskan bukti (evidence-based decision making).
BE2026 dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh melalui pengumpulan data sehingga ke peringkat industri terperinci dan daerah pentadbiran. Banci ini merangkumi lima sektor utama ekonomi negara iaitu Perkhidmatan, Pembuatan, Pembinaan, Pertanian, serta Perlombongan dan Pengkuarian yang melibatkan lebih 1.34 juta pertubuhan perniagaan. Skala pelaksanaan ini menjadikan BE2026 sebagai platform pengumpulan data ekonomi terbesar negara untuk meneliti perubahan struktur, prestasi dan potensi ekonomi Malaysia secara mendalam.
Bagi memastikan statistik yang dihasilkan sejajar dengan standard piawaian antarabangsa dan realiti ekonomi semasa, BE2026 membawa beberapa penambahbaikan strategik yang berikut:
- Penggunaan Piawaian MSIC 2025: Buat julung kalinya, BE2026 mengguna pakai Klasifikasi Piawaian Industri Malaysia 2025 (MSIC 2025) yang dikemas kini berdasarkan pengelasan antarabangsa terkini, International Standard Industrial Classification of All Economic Activities (ISIC) Revision 5, bagi mengelaskan dan memetakan aktiviti ekonomi terkini secara lebih tepat dan sistematik.
- Fokus Bidang Pertumbuhan Baharu: Memberi tumpuan khas kepada sektor strategik seperti ekonomi digital, ekonomi biru, hijau & jingga, teknologi hijau, tenaga boleh baharu serta perusahaan berasaskan inovasi sebagaimana yang digariskan dalam dasar utama kerajaan, termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
- Liputan Sektor Informal: Perluasan liputan ke sektor informal dilaksanakan bagi memberikan gambaran ekonomi yang lebih inklusif dan realistik. Inisiatif ini penting untuk menyokong penggubalan dasar bersasar selaras dengan prinsip“no one is left behind”.
DOSM ingin menegaskan bahawa semua maklumat yang diberikan oleh responden adalah SULIT dan dilindungi di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, terutamanya Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989). Kerahsiaan, integriti dan keselamatan data sentiasa menjadi keutamaan DOSM dalam setiap pelaksanaan banci dan survei rasmi. Maklumat yang dikumpul hanya digunakan bagi tujuan analisis statistik secara agregat dan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak luar.
Kejayaan BE2026 amat bergantung kepada sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak, terutamanya pertubuhan perniagaan, agensi kerajaan, persatuan industri, pihak berkuasa tempatan serta seluruh rakyat Malaysia. Penyertaan aktif dan komitmen responden dalam memberikan maklumat yang lengkap dan sahih akan memastikan data yang dikumpul benar-benar berkualiti untuk dimanfaatkan demi pembangunan negara.
Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sokongan padu dalam menjayakan Banci Ekonomi 2026. Marilah kita bersama-sama memperkukuh budaya data negara demi masa depan ekonomi Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan mampan.
SITI ASIAH AHMAD
Ketua Perangkawan
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)